Wednesday, June 18, 2014

Pengajaran Surah Al Hujurat...

Wednesday, April 26, 2006
Pengajaran Surah Al Hujurat...

 
 
AL_HUJURAT
Surah ke 49(juz 26)
-18 ayat : Madaniyyah –
Oleh :Nurul Huda Bt Aziz @ Salim
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjung Malim

Diturunkan selepas surah AlMujaadalah.Sesetengah mufassirin menamakannya "Suratul akhlak"  kerana mengandungi didikan adab tertib dan budi pekerti  yang patut diamalkan.Al-Hujurat didefinisikan sebagai kamar atau bilik beradu yang dikaitkan dengan bilik-bilik isteri-isteri Rasulullah s.aw.
Tafsir Al-Hujurat :1
 Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ {1}


(1) Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya dan bertakwalah kepada Allah.Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Permulaan surah ini ditujukan khas buat orang-orang yang beriman.Di sini Allah menggunakan seruan yang membuatkan orang-orang yang dirinya tergolong dalam golongan ini terasa istimewa dan dihargai sebelum memberi arahan dan perintahNya. Betapa Allah amat memahami fitrah hamba-hambaNya.Ini jelas menunjukkan panggilan atau seruan sebenarnya banyak mempengaruhi emosi dan perasaan seseorang itu.Seruan pemujukan dengan bahasa yang cukup indah inilah yang mampu menjamin keterikatan mereka denganNya dan menjadikan mereka berperasaan bahawa merekalah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap arahan itu.

Ayat ini menekankan supaya orang-orang mukmin tidak terburu-buru di dalam tindakan mereka sama ada dengan ucapan mahupun perbuatan untuk mendahului perintah Allah dan RasulNya.Dan tidak boleh menetapkan sesuatu hukum sebelum ada ketetapan dari Allah dan rasulNya.Ini bermakna di dalam menentukan hukum-hakam,kita tidak seharusnya memandai-mandai membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kalam Allah dan hadis Nabi s.a.w. Inilah yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah kepada umatnya di akhir zaman ini.Selagi mana mereka berpegang kepada keduanya maka mereka berada di jalan kebenaran.

Larangan ini kerana ditakuti mereka ini akan menghukum sesuatu yang tidak diizinkan oleh Allah dan rasulNya kerana Allah mendengar apa yang mereka ucapkan mahupun yang tersembunyi dalam hati.Perintah ini juga bermaksud supaya orang-orang yang beriman supaya jangan menyarankan sesuatu kepada Allah dan rasulNya sama ada hal yang berkaitan diri mereka,keluarga,dan masyarakat sekitar.Janganlah mereka membuat keputusan tanpa merujuk kepada ketetapan Allah dan RasulNya.

Muadz bin Jabal r.a. telah menjawab kepada Nabi s.a.w. apabila ditanya oleh baginda mengenai bagaimana caranya menghukum  :"Saya menghukum dengan kitab Allah,iaitu Al-Quranul karim.Tanya baginda lagi : "Jika engkau tidak mendapatinya dari kitab?" maka jawabnya saya menghukum dengan sunnah rasulNya,iaitu hadis. "Kalau engkau tidak mendapatinya di dalam hadis?"tanya Rasullullah s.a.w. lagi.Jawabnya: "Saya berijtihad sendiri yakni menghukum mengikkut pendapat saya sendiri".Kemudian Rasullullah s.a.w. menepuk dada Muadz (agar memenuhkannya dengan ilmu) lalu bersabda yang bermaksud:Segala puji bagi Allah yang telah memeberi kemudahan (taufik) kepada utusan Rasulullah yang menyebabkan Rasulullah pula redha."
–Hadis Riwayat Ahmad,Abu Daud dan at-Tirmizi-
           
            Daripada hadis yang dinyatakan Muadz adalah salah seorang yang memahami ayat pertama ini dengan meletakkan pendapatnya hanyalah selepas al-Quran dan As-sunnah,maka termasuklah ia dalam golongan orang-orang yang dikatakan mendahulukan Allah dan rasulNya.
           
Ini merupakan adab dan tatatusila peribadi terhadap Allah dan Rasulullah s.a.w.Selain itu,ia juga merupakan satu garis panduan bagaimana cara sesuatu perintah itu sewajarnya disambut dan dilaksanakan.Ini turut menjelaskan antara prinsip-prinsip fundamental bagi perundangan Islam dan sekaligus dari segi pelaksanaannya.Dan ini tidak dapat dilaksanakan tanpa ketakwaan kepada Allah dari perasaan yang mendalam bahawa Allah itu Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

Di dalam kitab Nahjul Balaghah,ada menyebut yang bermaksud :"Bertakwalah kepada Allah sekalipun sedikit,dan jadikanlah perlindungan di antara kamu dengan Allah sekalipun tipis.Dan sekurang-kurang takwa ialah memelihara perkataannya daripada berkata : "Sekiranya Allah Taala menghalalkan apa yang diharamkan ini atau mengharamkan perkara yang dihalalkan".

Tafsir Al-Hujurat :2
Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَن تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ {2}

Hai orang2 yang beriman,janganlah kamu mengangkat suara kamu lebih tinggi daripada suara nabi,dan jangan kamu bersuara keras kepadanya dengan perkataan seperti kerasnya suara sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain,supaya tidak hapus yakni pahala amalan kamu sedangkan kamu tidak sedar..(2)

   Dalam ayat kedua surah ini,Allah menjelaskan pula mengenai adab orang mukmin dengan Rasullullah s.a.w.  Allah mengajar orang mukmin supaya memuliakan Rasulullah dan menghormatinya bersesuaian dengan ketinggian kedudukan dan kemuliaan baginda.Hukum menghormati Rasulullah adalah wajib berdasarkan tafsiran ayat ini yang menyebut "La" iaitu jangan dan diikuti dengan fiil amar(suruhan) yang membawa maksud tegahan.
  Mereka diseru apabila bercakap dengan Rasulullah s.a.w. hendaklah merendahkan suara,jangan meninggikan atau mengangkat suara melebihi suara nabidan jangan mengeraskan perkataan kepadanya hingga melampau batas seperti ketika bercakap dengan orang kebanyakan.Jangan pula memanggil namanya sahaja sebagaimana yang dibuat sebahagian orang kepada sebahagian yang lain.Umpamanya dengan panggilan Ya Muhammad atau Hai Ahmad tetapi panggillah dengan perkataan yang sopan dan berbudi bahasa yang sesuai dengan pangkat atau jawatannya sebagai pesuruh Allah.

Sebab ayat diturunkan :
Ayat ini ditujukan kepada sebahagian orang dusun di pedalaman yang memanggil Nabi dengan menyeru namanya sahaja.Mereka tidak tahu hendak menghormati nabi.Perbuatan ini dikhuatiri akan menghilangkan pahala amalan tanpa disedari.Perbuatan tidak sopan terhadap nabi seperti memperkecilkan martabatnya boleh membawa kepada kufur yang akan menghilangkan pahala amalan.

Pada pandangan penulis,walaupun ayat ini dianggap satu perkara kecil atau remeh namun di sebaliknya mempunyai pengertian yang begitu mendalam.Jika kita fikirkan,pada realitinya seorang kekasih sudah tentu akan marah apabila kekasihnya dikutuk atau diperkecilkan oleh sesiapa.Namun,jika dilihat dalam ayat ini,Allah s.w.t. menegur dengan begitu halus orang-orang mukmin apabila mereka berkelakuan tidak sopan terhadap kekasih Nya (Rasulullah s.a.w.)Sedangkan Allah amat menyayangi kekasihnya namun Allah juga bersifat Maha Penyayang dan Pengasih terhadap orang-orang mukmin.
Jika Sang Raja harus dihormati hanya kerana keturunannya,Perdana Menteri disegani hanya kerana ketokohan pimpinannya menerajui negara apatah lagi Rasulullah yang menjadi perutusan antara Allah dan makhluknya.Ingatlah sahabat-sahabat sekalian,tanpa perjuangan baginda dan para sahabat,tanpa kasih sayang baginda kita hari ni tidak akan mampu mengecap nikmat utama dan terbesar iaitu nikmat ISLAM dan IMAN..
Wallahu'alam..
Tafsir Al-Hujurat :3

إِنَّ الَّذِينَ يَغُضُّونَ أَصْوَاتَهُمْ عِندَ رَسُولِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ امْتَحَنَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ لِلتَّقْوَى لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ {3}


Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah,mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka untuk takwa,mereka dapat pengampunan yang besar.(3)

   Iaitu sesungguhnya orang-orang yang hatinya telah diuji oleh Allah dengan bermacam-macam ujian dan cubaan yang berat,sehingga menjadi bersih dan jernih hati tersebut,lantaran sabar dan tabah menanggung penderitaan untuk melatihnya menjadi takwa,mereka itu akan diampuni dosa mereka dan diberi upah dengan pahala yang besar,iaitu syurga disebabkan merendahkan suara mereka dan adanya kepatuhan dan ketaatan mereka.

   Inilah sikap yang ditunjukkan oleh para sahabat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. apabila turunnya firman Allah taala jangan kamu mengangkat suara kamu maka Saidina Abu Bakar berkata Demi allah,aku tidak akan mengangkat suara aku melaikan aku bercakap seperti aku bercakap kepada orang yang hendak diberikan sesuatu rahsia.Betapa Abu Bakar r.a amat patuh dan tunduk pada perintah Allah dalam apa jua perkara sekalipun.Inilah yang dinamakan takwa iaitu sebenar-benar iman tanpa sedikit keraguan.Begitulah juga para sahabat yang lain,mereka patuh dan tunduk terhadap firman Allah.Sikap mereka ini telah dipuji oleh Allah dan mereka itulah golongan yang telah berjaya di dalam ujiannya kerana mereka bertakwa kepada Allah.allah menyebut bahawa mereka telah mendapat keampunan dan pahala yang besar kerana patuh terhadap perintah dan berakhlak dengan akhlak yang mulia.
Jika dilihat para sahabat dahulu amat memuliakan Rasulullah s.a.w bukan setakat merendahkan suara malah sanggup menggadai nyawa demi nabi junjungan.Malahan banyak lagi kisah-kisah lain yang mengisahkan kepatuhan dan penghormatan yang diberikan oleh sahabat-sahabat kepada Rasulullah s.a.w.Dijelaskan dalam Fiqh Sirah 1 karangan Said Ramadhan Al-Buti di mana kisah yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari di dalam bab pakaian (di bawah tajuk perihal uban)di mana Ummu Salamah isteri Rasulullah telah menyimpan beberapa helai rambut baginda dalam botol atau sebagainya,dan akan dicampurkan dengan air yang digunakan para sahabat apabila sakit dengan harapan akan sembuh dan berkat.

     Jika dibandingkan dengan umat Islam zaman kini,di mana Islam hanyalah warisan keturunan bukan dijadikan sebagai addeen atau cara hidup,amatlah mengharukan kerana generasi sekarang masih ramai yang tidak mengenal siapa Rasulullah s.a.w apatah lagi untuk mengagungkannya.Rasulullah s.a.w hanya menjadi sebutan ketika sambutan maulidur rasul,itupun sekiranya mereka menyambutnya.Kisah Rasulullah s.a.w. hanya berhak diambil tahu oleh golongan yang faqih dalam agama bukan umat Islam keseluruhannya.Malahan sirah perjuangan Rasulullah yang diadaptasikan dalam kurikulum pendidikan sekolah sama ada di peringkat rendah,menengah atau tinggi hanya dipelajari untuk lulus di dalam peperiksaan bukan penghayatan yang sebenar-benarnya.
    Oleh itu,tidak menghairankan kenapa generasi sekarang tidak begitu meminati matapelajaran agama kerana mereka tidak sedar akan kewajipan memahami Islam itu secara keseluruhannya.Jika mahu ditudingkan jari,semua pihak harus dipersalahkan namun itu bukanlah satu langkah penyelesaian yang bijak.Kini,menjadi tanggungjawab bagi kita yang bergelar Daie atau mengaku sebagai pendakwah harus memainkan peranan masing-masing,walaupun hakikatnya kita sendiri masih belum memahami cabang-cabang Islam kesemuanya namun bukanlah bermakna kita tidak harus menyampaikan.Mungkin dengan huraian ayat yang telah disebutkan di atas ini iatu mengenai keistimewaan dan kemuliaan Rasulullah s.a.w ini kita harus bermula.

Wallahualam…
-pengemis cinta Ilahi,perindu syahid abadi-                                                                                             To be continue 

Tafsir Al-Hujurat :4

إِنَّ الَّذِينَ يُنَادُونَكَ مِن وَرَاء الْحُجُرَاتِ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ {4}


Sesungguhnya orang-orang yang memanggil engkau (ya Muhammad) di luar bilik-bilikmu kebanyakan mereka tidak berakal.(4)

     Allah mencela perangai setengah orang-orang dusun di pedalaman yang datang menemui nabi s.a.w. dengan cara tidak sopan.Betapa mereka lakukan sedemikian,sedangkan di dalam bilik-bilik itu terdapat isteri-isteri baginda tinggal,yang sewaktu-waktu mereka inginkan rehat dan ketenteraman bersama-sama dengan Nabi s.a.w.

    Sesungguhnya kebanyakan mereka berbuat demikian itu tidak berakal,yakni jahil tentang kewajipan mereka memulia dan menghormati nabi.dan jika akal telah tiada,maka hilanglah peradaban.

    Mengikut al-Baidhowi adalah dikatakan bahawa orang yang dipanggil oleh Uyainah bin Husoin dan al-Aqro bin Habis iaitu Rasulullah s.a.w. yang mereka datangi bersama rombongan seramai 70 orang dari suku Bani Tamim semasa mereka berkunjung,waktu itu sebelah tengahari sedang baginda itu tidur-mereka berteriak Ya Muhammad!Marilah keluar menemui kami.

    Sepatutnya mereka tidak berteriak dengan suara yang begitu kuat dan dengan bahasa yang kasar sebegitu.Sewajarnya mereka memanggil dengan panggilan sanjungan atau yang baik seperti Ya Rasulullah atau Ya Nabiyallah,bukan seperti mereka memanggil kawan-kawan mereka dan bukan dengan mengangkat suara yang kuat.Apatah lagi pada waktu itu,baginda sedang berehat dan perbuatan yang ditunjukkan oleh mereka amatlah dikeji.Mereka tidak berakhlak dan jahil mengenai tatatertib dalam Islam.

     Mengikut sejarah orang-orang Badwi memang terkenal dengan sikap keras mereka.Telatah dan perangai orang badwi Banyak diceritakan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w.


         
p/s : time kasih sebab sudi membaca tulisan saye.....jumpe lagi,
wassalam..... Wink                                                                                 

Posted at 12:54 pm by Pendita Bitara

No comments:

Post a Comment