Wednesday, June 18, 2014

DASAR ISTIHSAN SEBAGAI SUATU SUMBER HUKUM

Sunday, April 30, 2006
DASAR ISTIHSAN SEBAGAI SUATU SUMBER HUKUM

Muhammad Nuruddin
Radiah Idris
Universiti Malaya
1.0 PENDAHULUAN
Sebagaimana maklum, Al Quran adalah sumber perundangan pertama, diikuti oleh As Sunnah (Al hadis). Sehubung dengan itu, Ijma' ulama' dan Al Qias juga diterima sebagai sumber perundangan yang tidak disepakati. Disamping itu, terdapat beberapa sumber lain yang bersifat dalil zanni. Diantaranya adalah kaedah istihsan. Ulama' berselisih pendapat dengan ta'rifan istihsan ini iaitu,
  1. Al Hilwani dan Al Hanafi mengatakan istihsan ialah menukar perkara yang berasal dari Qias kepada Qias yang lebih kuat. Hal ini disebut Qias khafi yang tersembunyi illat nya.
  2. Menurut Imam Abu Hasan Al Karkhi Al Hanafi pula, ia merupakan penetapan hokum oleh mujtahid terhadap sesuatu masalah yang menyimpang daripada ketetapan hukum yang diterapkan pada masalah-masalah yng sama disebabkan alas an yang lebih kukuh.
  3. Jumhur ulama' Usul menyatakan istihsan adalah menukarkan sesuatu hukum kulli kepada huklum juziyy (pengecualian)

2.0 TAKRIF ISTIHSAN
Dari segi bahasa bermakna memandang baik sesuatu atau mencari yang lebih baik untuk diikuti. (Az-Zumar : 17)
Istihsan dari segi istilah menurut ahli hukum dibahagikan kepada dua makna iaitu:
  1. menggunakan ijtihad dan segala buah fikiran dalam menentukan sesuatu hukum berdasarkan syara’. Contohnya hukum mut’ah yang terdapat dalam firman Allah taala (Al-Baqarah:236). Mut’ah dalam ayat ini diukur mengikut keadaan suami, kaya atau miskin menurut makruf.
  2. Dalil yang menyaingi qias atau meninggalkan qias dan menetapkan apa yang lebih manfaat bagi manusia
Para ulama hukum sependapat pada makna istihsan yang pertama. Imam Syafie menolak sumber istihsan telah berkata:
“ saya memandang sebaiknya mut’ah itu tiga puluh dirham”.
Mengenai istihsan pada pengertian yang kedua, ulama hukum berselisih pendapat tentang boleh atau tidak menggunakannya kerana wujud pelbagai pendapat dalam mendefinisikannya. Perselisihan pendapat dalam mendefinisi istihsan wujud kerana pentakrifan ini muncul sesudah terjadi perdebatan yang hangat antara yang menggunakan istihsan dan yang menolaknya. Mereka yang menolak istihsan mengatakan bahawa istihsan itu ialah menetapkan suatu hukum berdasarkan hawa nafsu (syari’u bil hawa). Pihak yang menggunakan istihsan tidak langsung mengemukakan dalil-dalil yang membuktikan bahawasanya istihsan itu adalah suatu hujjah, tetapi mereka berusaha menerangkan hakikat istihsan yang sebenar, menyebabkan golongan yang menolaknya mengakui bahawa tidak ada istihsan yang diperselisihkan kecuali dalam beberapa masalah.
3.0 SEJARAH PERKEMBANGAN SUMBER ISTIHSAN
Sebelum Abu Hanifah menggunakan istilah istihsan, ulama-ulama sebelumnya telah menggunakan istilah ini. Iyas ibn Mu’awiyah seorang hakim dalam pemerintahan Umaiyah pernah berkata:
“tidaklah saya menemukan qadhi, melainkan apa yang dipandang baik manusia”.
Sesudah Abu Hanifah menjadi seorang mujtahid dan ahli falsafah dalam bidang hukum, istilah istihsan sering digunakan sehingga menyaingi qias. Umpamanya Abu Hanifah berkata:
“qias memutuskan bgini, sedang istihsan memutuskan begitu. Kami mengambil istihsan. Qias memutuskan begini, akan tetapi kami beristisan, andaikata tidak ada riwayat tentulah saya menggunakan qias. Kami menetapkan demikian dengan jalan istihsan, tidak bersesuaian dengan qias”.
Imam Abu Hanifah terkenal sebagai seorang ahli hukum yang amat pandai menggunakan sumber istihsan dan banyak merujuk masalah-masalah berdasarkan sumber istihsan. Imam Abu Hanifah hampir-hampir digelar ‘imam Istihsan’ sebagaimana beliau digelar imam ahlul ra’yi.
Muhammad Ibnul Hasan, salah seorang murid Imam Ab Hanifah telah berkata:
“adalah Abu Hnifah telah berdiskusi dengan sahabat-sahabatnya tentang qias. Mereka dapat membantahnya. Tetapi apabila Abu Hanifah mengatakan: saya beristihsan, tidak ada lagi orang yang menandinginya kerana banyak dalil-dalil yang dikemukakan tentang istihsan dalam pelbagai masalah”.
Kemudian murid-muridnya yang mencapai darjat ijtihad mengikut jejak Abu Hanifah. Maka telah timbul banyak masalah berdasarkan istihsan sehingga mereka memberi pengertian bahawa istihsan itu merupakan satu dalil hukum dan para mujtahid harus mengetahuinya. Muhammad Ibnul Hasan berpendapat bahawa mengetahui masalah-masalah istihsan adalah syarat untuk berijtihad.
#Muhammad Ibnul Hasan berkata:
“mengetahui masalah-masalah istihsan menurut para fuqaha adalah salah satu syarat ijtihad, sama dengan mengetahui dalil-dalil yang lain”.
#Imam Abu Hanifah sendiri berkata:
“barang siapa mengetahui Al-kitab dan As-sunnah, pendapat para sahabat Rasulullah dan apa yang diistihsankan oleh para para fuqaha, dapatlah dia berijtihad terhadap hal-hal yang dihadapinya dan dia menjalankan yang demikian itu terhadap solatnya, puasanya, hajinya dan segala yang disuruh dan yang dilarang. Maka apabila dia berijtihad dan berqias kepada yang menyerupainya dapatlah dia beramal dengan yang demikian walaupun dia salah dalam ijtihadnya”.
Abu Hanifah sendiri tidak menegaskan definisi istihsan itu, dari pendapatnya, istihsan digunakan sebagai dalil-dalil hukum yang digunakan untuk menentang qias dan menguatkan istihsan itu bila ia bertentangan dengan qias. Maksud istihsan adalah tidak terang, terkecuali pada beberapa masalah yang merupakan hadits atau atsar.
Dia sering berkata:
“Andaikata tidak ada atsar, tentulah saya berpegang pada qias. Andaikata tidak ada riwayat, tentulah saya berpegang pada qias.”
Apa yang ditulis oleh Abu Hanifah adalah sama sepeti yang dtulis oleh Imam Malik dan murid-muridnya. Malik pernah berkata:
“Istihsan ialah sembilan persepuluh ilmu.”
Asbagh, seorang murid Malik pula berkata:
“Istihsan dalam bidang ilmu terkadang-kadang lebih menang dari qias”
Kita tidak boleh mengatakan bahawa Abu Hanifah, Malik, dan sahabat-sahabat beristihsan tanpa menggunakan dalil-dalil yang syara’, tetapi sebenarnya mereka tidak menerangkan dalil-dalil yang telah mereka maksudkan, dan apa yang sebenarnya mereka kehendaki dengan pendapat itu. Hal ini tidaklah begitu menghairankan, kerana masa itu belum lagi terjadi masa pentakrifan istilah-istilah baru. Masa itu adalah masa ijtihad dan mereka itu diakui oleh masyarakat sebagai ahli-ahli ijtihad. Imam Syafie menyerang dengan amat tajam bila beliau mendengar pengikut-pengikut Imam Abu Hanifah menggunakan istihsan ketika berdiskusi dengan beliau tanpa menerangkan apa yang dimaksudkan dengan istilah itu. Mungkin pendebat-pendebat Imam Abu Hanifah menggunakan istilah istihsan tanpa mengetahui sesuatu dalil kerana mereka bertaklid kepada imam-imam mereka. Apabila Imam Syafie bertanya kepada mereka apa hakikat istihsan, mereka tidak dapat menjawabnya. Imam Syafie membantah orang-orang yang sering menggunakan kata-kata ijma untuk dijadikan dalil mereka tanpa mereka menyebut dasar pegangan mereka itu. Pendapat-pendapat Imam Syafie, baik dalam Ar Risalah mahupun Al Umm tegas mengatakan bahawa istihsan tanpa dalil tidak dapat diterima bahkan haram dilakukan.
Dalam Ar Risalah Imam Syafie berkata:
“sesungguhnya haram atas seseorang menetapkan sesuatu dengan jalan istihsan, apabila istihsan itu menyalahi hadis. Dan tidak boleh lagi seseorang mengatakan: ‘saya beristihsan tidak menggunakan qias’. Andaikata kita boleh mengenepikan qias, bolehlah bagi ahli-ahli akal dari orang yang tidak mempunyai ilmu mengatakan sesuatu yang tidak ada hadis terhadapnya dengan menggunakan dasar istihsan. Istihsan itu sebenarnya hanya mencari enak sahaja”.
Dalam kitab Ibthalul Istihsan, Imam Syafie menerangkan dalil-dalil yang menegaskan bahawa para mufti tidak boleh berfatwa dengan istihsan, kerana kalu berfatwa dengan istihsan bererti dia telah menyimpang dari Al-Quran dan Sunnah, al-ijma dan qias. Dan bererti dia mengikuti pendapatnya sendiri.
Dalam masalah ini Daud Ibn Ali menyetujui pendapat Imam Syafie, sebagaimana ulama-ulama Hanbaliyah menyetujui fahaman Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.
Dalam kitab Risalah Al Ushul, Daud berkata:
“Sesungguhnya menetapkan sesuatu dengan qias tidak wajib, dan menggunakan istihsan tidak boleh”.
Shafiyuddin Al Baghdadi dalam kitabnya Qawa’idul Ushul dan Ibnu Qadamah Al Maqdisi dalam kitabnya Raudhatun Nazhir menyatakan bahawa Imam Ahmad ibn Hanbal bersetuju dengan pandangan Imam Abu Hanifah dalam masalah ini.
Demikianlah perkembangan dalam fasa pertama tentang kedudukan istihsan. Satu pihak menggunakan istihsan untuk sesuatu hukum yang mereka kehendaki walaupun mereka belum dapat menernagkan hakikat sebenar istihsan dan satu pihak yang lain menolak dari menggunakan istihsan dengan alasan bahawa istihsan adalah menurut fikiran semata-mata.
Sesudah masa membuat dalil bagi dasar-dasar yang digunakan selepas zaman Imam Syafie, barulah tokoh-tokoh fiqh mazhab Hanafi membuat pentakrifan istihsan dan menerangkan hakikat yang sebenarnya yang mereka ungkapkan dari cabang-cabang hukum yang dinukilkan daripada imam. Namun demikian, pentakrifan yang telah dibuat masih tidak dapat melepaskan istihsan dari arena perselisihan. Setelah lama masa berjalan, barulah sebahagian ulama Hanafiyah berupaya menggambarkan istihsan bersesuaian dengan pandangan para imam dalam menanggapi hukum-hukum furu’ (cabang) yang dinukilkan dari mereka.
Mereka berkata: istihsan itu diithlaqkan kepada dua pengertian – ithlaq khas dan ithlaq am.
Ithlaq khas ialah:
“Qias khafi yang mengimbangi qias jali”.
Qias jali ialah:
“Qias yang mudah difahami”.
Sedang qias khafi ialah:
“ Qias yang susah difahami, perlu difikirkan secara mendalam”.
Istihsan yang am ialah:
“ Segala dalil yang mengimbangi qias dan mengharuskan kita berpindah dari qias pada yang mengimbanginya lantaran ada sesuatu nas atau atsar atau ijma atau darurat”.
Apabila kita teliti benar-benar ternyata bahawa qias yang mengimbangi istihsan bukanlah qias menurut ulama usul, tetapi dimaksudkan dengan qias di sini adalah kaedah umum atau dalil umum. Maka menggunakan istihsan di sini bererti mengecualikan sesuatu dari umum dalil. Oleh itu seseorang tidak boleh menolak istihsan selagi dalil yang digunakan untuk mengecualikan itu adalah dalil yang benar. Mengenai istihsan yang bermakna khas itu, ia bererti suatu bentuk pertentangan dan ketika terjadi pertentangan antara dua dalil, maka dalil yang terkuat dipilih.
4.0 ISTIHSAN SEBAGAI SUMBER TASYRI YANG DISEPAKATI
Dengan pengertian yang terakhir ini istihsan menjadi suatu sumber yang disepakati kerana istihsan adalah suatu pengecualian dari suatu dalil dan pertentangan dua qias lalu, diambil yang terkuat daripadanya walaupun dia khafi. Hal ini dibenarkan al-quran, assunnah dan amal fuqaha sahabat.
Para ulama malikiah dengan tegas mentakrifkan istihsan dengan maksud pengecualian
Ibnu Arabi berpendapat
“Istihsan ialah meninggalkan sesuatu yang dikehendaki dalil dengan jaan pengecualian, kerana ada sesuatu yang mengetahui di sebahagian juziyyahnya”
Ibnu Rusyd berpendapat:
“Dan menggunakan qias mengakibatkan berlebih-lebihan dalam hukum, maka dia berpaling pada sebahagian tempat tertentu kerana ada sesuatu pengertian yang memberi bebas kepada hukum yang tertentu dari tempat itu sahaja.”
As Syatibi berpendapat:
“ Kaedah istihsan menurut Imam Malik ialah menggunakan maslahat juziyyah dalammenghadapi dalil yang kulli.”
Para sahabat banyak menggunakan prinsip ini dan merekalah menjadi ikutan kita sesudah Rasulullah s.a.w, iaitu mengecualikan sesuatu dari nas yang umum kerana ada kemaslahatannya.
Golongan syariah sendiri mengakui adanya pengecualian dari kaedah-kaedah syariyyah dan mereka menggunakan pengecualian itu walaupun Imam Syafie menentang istihsan.
Di antara masalah itu, ialah membolehkan kita mengambil tumbuhan di tanah haram untuk mengumpan binatang untuk menhindarkan kesukaran bagi para haji. Ini merupakan suatu pengecualian dari umum nas padahal Rasulullah hanya membenarkan idzar sahaja, sebagaimana mereka membenarkan ayah ataupun abang menggadaikan harta mereka kepada mauli mereka apabila wali itu memberi hutang kepada mereka. Demikian pula sebaliknya. Dan mereka membenarkan abang mereka mengahwinkan cucu perempuannya dengan cucu lelakinya apabila dipandang ada maslahat. Inipun merupakan suatu pengecualian dari dasar yang mereka gunakan iaitu akad itu dilakukan oleh dua orang.
“Tak dapat tidak sesuatu akad dari dua ibarat dari dua orang ( penjual dan pembeli.”
Izuddin Ibnu Abdis Salam berkata:
“ Apabila seseorang menjual buah kurma yang telah nyata baiknya maka wajiblah dibiarkan buah itu tinggal di batang sehingga datang waktu memetiknya dan memungkinkan si pembeli menyirami batang kurma itu dengan airnya, kerana kedua syarat itu telah menjadi syarat pada uruf masyarakat. Maka menjadilah dia sebagai yang telah disyaratkan oleh kedua belah pihak. Dan hanyanya berlaku syarat ini di sini adalah kerana adanya keperluan masyarakat dan keadaan itu mendorong masyarakat kepada syarat ini, maka menjadilah dia hal-hal dikecualikan dari kaedah untuk memperbolehkan kemaslahatan akad.”
Sesungguhnya perbezaan pendaat antara Imam As Syafie dengan pihak yang menerima istihsan bukanlah dari segi penggunaan istilah istihsan. Kerana As Syafie sendiri menggunakan istilah-istilah itu seperti yang diterangkan oleh Al- Amidi dalam kitabnya Al-Ihkam.
Kalau demikian, perbezaan itu adalah kerana menurut pendapat As-Syafie bahawa istihsan yang dikehendaki golongan Hanafiah ialah menetapkan sesuatu berdasarkan akal biasa tanpa dalil, sebagai yang sering beliau dengar di masanya dari pengikut-pengikut Abu hanifah seperti Basyar Al- Miribi. Jika As-Syafie menolak istihsan dalam erti memendang baik sesuatu tanpa dalil, maka Imam Ahmad pun menolak suatu pernyataan ijmak tanpa ada dalil.
5.0 JENIS ISTIHSAN UMUM
      Istihsan umum ada beberapa jenis menurut dalil yang menetapkannya:
  1. ISTIHSAN DENGAN NAS: iaitu pada tiap-tipa masalah yang ada nas sendiri yang menimbulkan suatu hukum yang berlainan dengan hukum umum yang diterapkan oleh suatu nas yang umum atau kaedah yang umum. Dan ia melengkapi segala bentuk masalah yang dikecualikan oleh syarak sendiri dari hukum-hukum yang sebandingnya iaitu seperti khiar syarak. Imam Abu Hanifah mengatakan terhadap orang yang berkuasa makan atau minum kerana lupa: “Andaikata tiada nas yang tidak membatalkan puasa lantaran makan dan minum kerana lupa, tentulah saya memandang bata puasa itu kerana sudah rosak satu rukun iaitu menahan diri dari segala yang merosakkan puasa”.
    1. ISTIHSAN BERDASARKAN IJMAK: iaitu apabila para mujtahid berfatwa terhadap suatu masalah yang berlawanan dengan Qiyas atau dengan kehendak dari sesuatu dalil yang umum, atau mereka berdiam diri tidak membantah sesutau uruf masyarakat yang berlawanan dengan hukum qiyas.
    1. ISTIHSAN DALAM HAL DARURAT DAN UNTUK MENGHINDARI KESULITAN: apabila kita mnggunakan dalil yang umum menimbulkan kesulitan, maka dari dalil yang umum itu dikcualikan. Seperti apabila saksi-saksi yang telah meninggal atau yang jauh dari tempat atau kerana tidak sanggup menghadiri sidang majlis, padahal menurut asal hukum kesaksian itu harus yang melihat dengan mata kepala sendiri, dibolehkan menggunakan kesaksian orang lain.
    1. ISTIHSAN BERDASARKAN KEMASLAHATAN YANG BELUM SAMPAI KE BATAS DARURAT: sesuatu hukum yang dicakup oleh sesuatu nas yang umum tetapi jika dilaksanakan hukum itu, timbul kerosakan atau terhapus kemaslahatan, maka ditetapkan hukum berdasarkan kemaslahatan, seperti memberikan pusaka kepada suami yang isterinya murtad dalam keadaan sakit yang membawa kepada kematian. Ini juga merupakan suatu pengecualian dari kaedah umum, iaitu tidak ada lagi hak pusaka kerana hubungan mereka suami isteri putus di waktu isteri murtad. Jalan istihsan di sini ialah melayani si wanita yang murtad itu dengan yang bertentangan dengan maksudnya. Dia memurtadkan dirinya dalam keadaan sakit yang membawa maut supaya suaminya tidak dapat menerima pusaka daripadanya.
    1. ISTIHSAN DENGAN DASAR URUF: Muhammad ibn Al Hasan membolehkan kita mewakafkan barang bergerak. Menurut kaedah, wakaf itu harus benda yang tidak bergerak kerana benda yang bergerak mudah hilang dan rosak. Seperti boleh kita menjual buah-buahan dengan syarat tetap di batangnya sampai matang padahal syarat itu tidak dikehendaki oleh akad, bahkan berlawanan dengan sabda Rasulullah yang melarang penjualan dengan memakai syarat. Tetapi kerana uruf telah berlaku demikian, maka dibolehkan untuk menghindari prtengkaran. Sebab itulah Hanafiyah membenarkan segala syarat yang diterima uruf asal saja tidak membatalkan sesuatu nas syara.
6.0 KEPENTINGAN SUMBER ISTIHSAN
Walaupun istihsan bukan suatu dalil yang berdiri sendiri, namun ia menyingkapkan jalan yang ditempuh sebahagian ulama mujtahidin dalam menetapkan dalil-dalil syara dan kaedah-kaedahnya ketika dalil-dalil itu bertentangan dengan kenyataan yang berkembang dalam masyarakat. Hal ini untuk mengelakkan kesulitan dan kemudaratan serta menghasilkan kemanfaatan dengan cara menetapkan dasar-dasar syariat dan sunber-sumbernya.
Istihsan adalah suatu dalil yang terkuat menunjukkan bahawa hukum-hukum Islam adalah suatu hukum yang berkembang dalam masyarakat yang diistilahkan sebagai fiqh waq’i bukan suatu fiqh khayali yang merupakan fiqh bayangan sebagai yang digambarkan oleh sebahagian oarang yang tidak mengetahui hakikat fiqh Islam atau ingin menjauhkan manusia daripadanya.
Dengan menggunakan dasar istihsan, kita dapat menghadapi masalah perbankan yang telah menjadi masalah yang sangat penting dalam masalah ekonomi.
Oleh kerana dalam kebanyakan bentuknya merupakan pengecualian dari umum, maka bolehlah kita qiaskan kepadanya sesuatu yang lain apabila cukup syarat-syarat qias.
Para ulama ada yang tidak membenarkan sama sekali kita melakukan qias, kerana tempat-tempat yang mengecualikan atas dasar darurat, atau maslahat tertentu dan harus kita ukur mudarat itu sekadar yang darurat sahaja. Oleh kerananya, timbullah suatu istilah dalam kalangan mereka:
#
“ Sesuatu yang tetap berlawanan dengan qias maka tidak boleh diqiaskan yang lain kepadanya”.
Ada yang membezakan antara yang diistihsankan dengan nas atau ijmak dengan yang diistihsankan dengn qias khafi. Mereka tidak membolehkan pada yang pertama, membolehkan pada yang kedua. Asy Syarakhasi dalam kitab usulnya berkata:
Sesungguhnya yang mustahsan dan qias dapat melampaui hukumnya pada yang lain, dalam arti dapat diqiaskan yang lain padanya. Kerana qias baik lahir maupun batin ialah mengenakan sesuatu hukum kepada yang lain. Adapun yang diistihsankan dengan nash atau ijma' maka hukumnya tidak melampaui pada yang lain, kerana dia dipalingkan dari qias dan tidak dapat dikenakan kepada yang lain."
Seperti pendapat sebelum ini, iaitu tidak boleh mengqiaskan sesuatu kepada yang dikecualikan itu. Kedua-dua pendapat ini tidak dapat kita pendapat ini tidak dapat kita terima. Pendapat yang dapat kita terima, ialah boleh kita qiaskan sesuatu kepada yang dikecualikan apabila cukup syarat-syaratnya, kerana qias itu berkisar sekitar adanya sesuatu makna yang mngumpulkan antara yang dikecualikan itu dengan yang lainnya.
Jika ada makna tersebut, berlakulah qias. Jika tidak ada makna tersebut, nescaya qias tidak dapat dikecualikan, baik pengecualian itu dengan nash ataupun dengan qias. Inilah pendapat sebagian ahli tahqiq yang dipelopori oleh Al-Ghazali. Di dalam Al=Mustashfa beliau berkata:
" Bahagian yang kedua ialah suatu yang dikecualikan dari kaedah yang telah lalu dan datang dari pengecualian itu dari suatu makna. Ini dapat diqiaskan kepada setiap masalah yang berlaku antara yang dikecualikan dengan yang dikecualikan dan bersekutu yang dikecualikan dan bersekutu yang dikecualikan pada illat. Pengecualian umpamanya, pengecualian 'ariyah maka dia tidak merupakan nasakh bagi kaedah riba dan tidak megubah kaedah itu. Akan tetapi ia dikecualikan kerananya kita dapat mengqiyaskan buah anggur pada kurma putih kerana kita berpendapat bahwa anggur itu membawa makna kurma putih".
" demikian pula mewajibkan segantang kurma terhadap susu binatang yang diikat tempat susunya tidak datang untuk menghapuskan pembayaran yang ada imbangannya dengan mitsilnya ( sejenisnya) akan tetap tatkala bercampur susu yang baru dengan susu yang sedia ada di dalam buah dada jika terjadi jual beli dan tidak ada jalan untuk membezakan satu sama lain, tidak ada jalan mengetahui ukurannya sedang dia berpautan dengan makanan, syara' melepaskan orang yang berjual beli kesulitan mengetahui jumlah susu dengan jalan memberi ukuran sebatang kurma. Kerana tidak salah kita mengatakan: andaikata dikembalikan binatang yang diikat pentil susu dengan cacat yang lain, bukan cacat mengikat pentil susu, nescaya dibayar susu pula dengan segantang kurma itu. Dan ini seperti penemuan pada makna pokok. Andaikata kita tidak memahami makna tersebut, tentulah kita tidak berani menghubungkan itu ( mengadakan qias)".
Pendapat inilah yang kiranya harus kita tampung, kerana mewujudkan maksud syara' dari pengecualian.
Allah swt. Dengan tegas mengatakan:
" Dan tidaklah Allah menjadikan kamu kesukaran dalam agama". ( Q.S. Al- Hajj/22:78)
Pendapat Al- Ghazali sesuai dengan pendapat Ibnu Taimiyah dalam kitab Ushul Fiqhnya iaitu:
" Boleh qias kepada pokok yang tertentu dari antara jumlah qias, dan itulah yang dinamakan oleh golongan Hanafiah tempat istihsan, berbeza terhadap perkataan mereka tidak boleh qias kecuali qias itu ada illatnya atau ijma' qias itu, atau ada suatu pokok yang lain yang sesuai maka bolehlah qias kepadanya. Pendapat golongan Syafi'iyah dan segolongan Hanafiah sama dengan pendapat kami. Dan pendapat golongan Malikiyah sama dengan jumlah qias dapat diqiaskan kepadanya dan dapat diqiaskan pada yang lainnya".
Ibnu Qudamah Aln Maqdisi dal;am kitab Raudhatun Nadzir berkata:
" Yang dikecualikan dari kaedah qias terbahagi kepada yang dapat difahamkan maknanya dan yang tidak dapat difahamkan maknanya. Makna yang pertama sah diqiaskan selama diperoleh illat. Di antara yang demikian ialah pengecualian 'aliyah kerana ada keperluan. Tidaklah jauh kita mengqiaskan buah anggur pada kurma putih yang telah nyata bahawa buah anggur mengandungi kurma putih. Demikianlah pula mewajibkan segantang kurma pada susu binatang yang diikat pentilnya sikecualikan dari kaedah sama semestinya kita qiaskan kepadanya apa bayng dikembalikan kerana cacat yang lain. Dan itu seperti perhubungan, adapun yang tidak dapat difahamkan maknanya maka adalah seperti ditentukan Abu Burdah dengan boleh menyembelih kambing yang berbulu yang setahun umurnya untuk korban dan seperti Nabi menetapkan Khuzaimah dengan menerima kesaksiannya seorang diri. Dan hal serupa itu tidak boleh diqiaskan kepadanya".
Mengikut apa yang diterangkan, maka istihsan dalam kebanyakann bentuknya, adalah pengecualian dari hal-hal yang diharamkan dengan menghalalkan sesuatu dan pengecualian dari hal-hal yang mewajiban dengan menghilangkan kewajibannya, kerana pengecualian itu tidaklah terbatas dalam daerahnya sahaja, tetapi melampaui daerah lain.
7.0 RUJUKAN
Tengku Muhammad Hasbi Falsafah Hukum Islam 1987 PT. Pustaka Rizki Putra
Ustaz Abd. Latif Muda, Ustazah Rosmawati Ali, Perbahasan Usul Fiqh; 2001, Ilham Abati Enterprise


Posted at 11:15 pm by Pendita Bitara

Puisi : Bukan sengaja ku disini

Sunday, April 30, 2006
Puisi : Bukan sengaja ku disini

BUKAN SENGAJA KU DISINI…..
 
Hey kawan…….
Bukan sengaja aku kesini…..
Cetusan rasa hasrat nurani,
Alang bertegas bisa ku kemari,
Cuba ku rungkai kusut di hati….
 
Hey kawan…..
Bukan sebarangan langkah ini…
Aku cuba menginsafi….
Kenapa?.....kenapa? mahasiswa kaku disepak-disogok kesana kemari….
Seolah!!! Seolahnya tiada harga diri..
Tiada tegasan diri……
 
Hey kawan…..
Bukan mainan jalan kami..
Derap kami menyatu insani,
Menelusuri..ranjau dan duri…..
Semata-mata mengumpul..menghimpun…suara berperi……
 
Mahasiswa kini….
Bukan mahasiswa sejati….
Mahasiswa kini umpama komoditi….
Dihasil oleh sebuah kilang …namannya universiti…
Kilang indah dikopratkan…..
Untuk menghasilkan golongan angguk otaknya berkarat….
 
Mahasiswa kini….
Tidak sedar diri..
Jasadnya berhibur….jiwanya terkubur….
Diberi upah, wang dan kemewahan ..semata-mata untuk menggadaikan prinsip minda keintelektualan…
 
Mahasiswa kini….
Talah lama mati…..
Tidak menjadi aset dan kebanggaan ibu pertiwi…
Sijilnya tinggi…..akademiknya tinggi…
Tapi……bercakap di sana-sini..orang naik geli….
 
Semuanya…..sebab pentadbir universiti…..
They treat us like a kid……..
Memperkotak katik, menambahkan tuli…..
Akibat…disekatnya demokrasi…
 
Aaaaa……!!!!!
Katanya demokrasi….tapinya monarki dan oligarki,…
Katanya boleh bersuara….tapi boneka jadinya..
Kami disepak terajang…
Hak kami di kolej dan kediaman di telanjang….
Itu pun ada orang…
Sanggup berjuang seranjang…..
Apa ni…??????
 
 Pena : Pendita Bitara
 
Puisi ini dihasilkan pada pagi 7pg 25 Jan 2006 sebelum penyerahan petition kepada PM di Putrajaya......

Posted at 10:12 pm by Pendita Bitara

PENGARUH IMPERIALIS TERHADAP SEJARAH DAN KEBUDAYAAN MELAYU YANG BERTERASKAN ISLAM

Sunday, April 30, 2006
Pengaruh Imperialis terhadap Sejarah kita

PENGARUH IMPERIALIS TERHADAP SEJARAH DAN KEBUDAYAAN MELAYU YANG BERTERASKAN ISLAM

MUHAMMAD NURUDDIN BASHAH
UNIVERSITI MALAYA
2006


1) Pendahuluan
Kertas kerja ini cuba untuk tidak memfokuskan pengaruh penjajahan daripada barat semata-mata sebaliknya cuba melihat dampak penjajahan melalui skop yang lebih luas. Jika diperluaskan lagi skop ini, perbahasan neo kolonialis boleh dijadikan satu topik perbahasan detail seperti serangan budaya dan norma daripada barat. Pada penulis, cukuplah skop ini dihadkan kepada penjajahan berasaskan wilayah dan rantau politik secara nyata.

Menurut Syed Muhd Naquib Al-Attas, teori sejarah secara runcit-runcitan atau mikro yang terlalu tafsil(detail) tanpa melihat dampak dan pola akan datang adalah terlalu acap dikupas. Perbahasan adil, makro dan mencapah serta mengambil kira kesemua faktor yang membentuk sejarah perlu dilihat.

2) Tamadun Melayu-lndonesia Sebelum Imperialis.

2.1 Melayu juga imperialis dalam konteks wilayah dan perluasan kuasa.
2.2 Melayu mudah menerima konsep Buddha dan Hindu atas sebab nilai otoktoni.
contohnya:- persoalan raja dan kedaulatan.
2.3 Melayu hanya menerima nilai falsafah dan kesenian sastera sahaja dengan meninggalkan ajaran sebenar agama Hindu. Hal ini kerana melihat kehendak raja dan setempat yang masih kekosongan.
2.4 Melayu mudah menerima Islam kerana dibawa oleh pendakwah sebenar yang fasih berbahasa melayu(sejak zaman jahiliyah) dan komited dengan da'wah. llmu kalam dan teori mantiq merasionalkan Melayu(Barat hanya menambah rasionalisme yang lebih cosmopolitanisme dan liberalisme).

3) Kedatanqan imperialis pasca Renaissance(abad ke-16)

3.1) Kedatanqan Portugis

3.1.1 Benarkah Portugis datang ke Asia Tenggara kerana rempah? Bagaimana dengan pangkalan rempah Yaman dan Venice yang lebih besar? Bagaimana dengan laporan-laporan Alfonso De Albourqe yang berbau politik kepada Raja Portugis?.
3.1.2 Datang kerana God, Gold, Gospel (3G).
3.1.3 Ledakan revolusi kesenian dan ketamadunan mendesak Portugis keluar.
3.1.4  Teknologi Asia Tengah(Uthmaniyah) dan barat adalah agak setara pada abad ke-16.
3.1.5 Asbab kepada kedatangan lebih ramai orang barat.

3.2) Kedatangan Belanda

3.2.1 Mengajar erti kawan dan lawan. Berseteru sesama negeri umat Islam.Contoh:
Aceh.
3.2.2 Terpecah bangsa-bangsa Melayu.



3.3) Kedatangan Inqqeris.

3.3.1 Silent Movement dan serampang dua mata. Guna falsafah "Give and take".
3.3.2 Inggeris berpakat dengan Belanda sehingga taxonomy Melayu dan "Suku Barrier" mula meledak. Tiada lagi integrasi antara pulau-pulau Melayu secara bebas.
3.3.3 Permusuhan kesejagatan Melayu.
3.3.4 Pengaruh utama.
·               Cara Pendidikan(Raffles pecah pengajian Bahasa Melayu, jawi dan Al-Quran)-Munsyi Abdullah.
·               Cara Pentadbiran(ledakan globalisasi perindustrian mengkehendaki satu norma dan kehendak yang sama).
·               Keagamaan-pemusnahan penyebaran sistem pondok dan pengajian progresif.
·               Sistem ekonomi-dari berniaga kepada budaya makan gaji.(membunuh jati Melayu sebagai tonggak negara).
·               Pecah dan perintah.

3.4) Kedatanqan Jepun

3.4.1 Pengaruh utama.Semangat Asia untuk Asia
3.4.2 Kekejaman yang memecah perintahkan secara lebih teruk.
3.4.3 Dilemma kaum.
3.4.4 Mengajar Melayu agar jangan hanya makan gaji sehingga terpaksa gadai negara
dan rakan bangsa lain.
3.4.5 Menumbuh semangat kemerdekaan dari budaya kebergantungan kepada Inggeris dan barat.
3.4.6 Memberi kelebihan kepada golongan intelek melebihi bangsawan yang lebih gemarkan British.

4) Mengapa ajaran Kristian tidak berjaya menqhakis semanqat kelslaman vang menebal?
·         Penerimaan terhadap Islam yang menekan konsep saintific dan estetik yang tidak eksklusif. Contohnya tulisan dan bahasa Sanskrit yang estetik dan hanya eksklusif untuk golongan Brahmin sahaja.
·         Ajaran Kristian yang disebar tidak bersungguh-sunguh untuk menggantikan tradisi Islam yang menyeliputi otoktoni Melayu seperti ajaran tasawuf, sistem beraja secara Islam. ajaran tauhid secara ilmu kalam dan budaya akhlak islam yang cocok dengan nilai ketimuran.
·         Ajaran Kristian dimoderate selepas ledakan Protesian(Martin Luther).
·         Benteng sistem pengajian konvensional secara tradisional, merupakan tonggak kepada fahaman rakyat sama ada yang belajar secara langsung atau di surau dan masjid.(Prof Syed Naquib Al-Attas).
·         Ajaran Kristian diselitkan dengan imej sombong, bongkak, pengkelasan masyarakat lantaran bawaan pegawai-pegawai British yang bersikap demikian.
  
5) Impak Imperialis kepada keaqamaan dan kebudayaan oranq Melayu.

·         Penapisan dan tekanan yang kuat Belanda kepada rakyat Indonesia.Contoh: Ibadah Haji.
·         Penyaingan sekolah agama dengan sekolah Melayu yang diselit dengan asuhan sekular selain elemen sekolah primier yang lebih ketara sekularnya.
·         Pengurangan penggunaan bahasa Lingua franca (pasca pengaruh Islam) kepada penggunaan bahasa Inggeris yang mendominasi Jabatan Kerajaan Negeri Bersekutu dan sedikit pada negeri tidak bersekutu.
·         Penghakisan tulisan jawi kepada tulisan rumi yang impaknya ketara kepada pembelajaran Al-Quran dan Ilmu agama. Golongan awam lebih rendah basic agamanya daripada golongan sebelum mereka.
·         Sistem beraja yang dinasihati oleh mufti yang mana pernah termaktub dalam Kanun Undang-undang Melaka tentang hukuman hudud, kemudiannya diserap kuasa mereka melalui mahkamah sivil dan mahkamah syari'ah.
·         Penyerapan kesenian barat mengakibatkan budaya Meiayu yang mendokongi elemen Islam telah dilayukan sehingga menghasilkan golongan separa Islamis separa secular ala tahun 1930 1960an.
·         Kebangkitan ulama' yang taat dan setia kepada Pan Islam Turkey.
·         Asas kepada terbitnya sikap meniru budaya popular yang menghakis benteng ketamadunan Meiayu.
·         Menerbit golongan agama yang progresif dalam arus "menerima dalam menolak" kebanjiran budaya negatif barat.
·         Persaingan kaum muda dan kaum tua sedikit sebanyak menerbitkan kesedaran betapa Islam mempunyai pelbagai Jalan hidup yang terbuka dan berprinsip.







6) Satu kajian kes: Bagaimanakah institusi pondok dikatakan mewarisi serta membentengi ketamadunan Melayu?

·         Melayu yang secara "principal exclusivness" bertaut dengan Islam(Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dalam Seminar Kefahaman Mengenai Rakyat Berjiwa Merdeka 2005, IKIM) mewariskan tanggapan bahawa Melayu itu Islam dan Islam di rantau ini adalah Melayu.
·         Tulisan arab-melayu yang mula digunakan sejak era persuratan Melayu Islam sekitar abad ke-15 lagi telah menerbitkan ulama' penulisan Islam yang tersohor seperti Nuruddin Ar Raniri(Karyanya Siraat Al Mustaqim adalah tulisan fiqh yang pertama dalam tulisan jawi), Abdul Rauf Fansuri(juga disebut Singkel) serta Hamzah Al-Fansuri yang membawa konsep teologi mistik yang berunsur tasawuf. Budaya 'talaqqi' mewarisi aspek ketamadunan Melayu terbesar iaitu tulisan yang asli(mengikut lafaz dan nahu arab).
·         Pondok menjadi pusat latihan dan penyebaran ilmu silat. Dengan eleman sufi dan spiritual, ajaran silat menjadikan pondok lebih popular dan penting dikalangan kanak-kanak lelaki.
·         Sistem pondok menjadi pakar penasihat sultan-sultan Patani, Kelantan dan Terengganu seperti Sheikh Ahmad bin Mohd Zin Al-Fathoni dengan tulisannya At Tadbir  Was  Siyasah.
·          
7) Penutup
Dalam ruangan masa dan keadaan yang sempit ini, adalah mustahil bagi kita untuk mengupas secara terperinci perihal pengaruh yang telah berlaku kepada struktur kebudayaan dan tradisi beragama Meiayu di Nusantara dan Asia Tenggara ini. Perbahasan kali ini seolah menidakkan pengaruh komunisme yang menular serta mengancam institusi pengajian Islam di Kemboja, Burma dan selatan Thailand. Pengaruh terbesar dan terburuk impirelis ialah apabita terpisahnya Pattani Darul Salam (Fatoniy, menurut tulisan ulama' silam) daripada cebisannya iaitu Kelantan dan utara Kedah Malaysia, la juga mengakibatkan Acheh iaitu sebuah kerajaan berdaulat terpaksa bergabung dengan kerajaan sekular campuran komunis Indonesia tajaan Sukarno apabila kekalutan penjajahan Jepun. Hal inilah yang mengakibatkan banyak tradisi dan ketamadunan Melayu Islam musnah dan tercarik dek modenisasi, dimana Patani dan Acheh adalah antara tempat yang mempunyai keluaran ulama', manuskrip, tinggalan peralatan lama serta budaya beradab.
Penulis mengharapkan agar pembaca dapat menambahkan informasi dan pengetahuan sekitar pengaruh buruk yang melanda rantau ini dimana fokus perlu diberikan juga kepada bangsa Melayu yang merupakan tonggak utama agama Islam di Asia Tenggara. Penidakan aspek kemelayuan ini akan memincangkan asas perbahasan sejarah pengaruh westernization ini yang mana dampaknya kita lihat berlaku dikalangan masyarakat dan muda mudi Melayu Islam.
Sekian Terima kasih.


Posted at 09:48 pm by Pendita Bitara

Nilai sepunya Falsafah Yunani dan Islam - PARAMENIDES Pelopor Falsafah Logik Yunani

Sunday, April 30, 2006
Nilai sepunya Falsafah Yunani dan Islam

PARAMENIDES
Pelopor Falsafah Logik Yunani
Tg Abdul Ghaffar
Universiti Pendidikan Sultan Idris
 
            Paramenides merupakan anak murid kepada Xenophanes. Sebab itulah pandangan dan pemikiran falsafah beliau banyak dipengaruhi oleh Xenophanes. Antara ajaran Xenophanes ialah tuhan ini satu. Ajaran ini bertentangan dengan kepercayaan masyarakat Yunani pada ketika itu yang mengatakan tuhan ini banyak dan setiap daripadanya mempunyai peranan yang tertentu. Xenophanes mengecam pemikiran masyarakat ketika itu yang menggambarkan tuhan dalam bentuk lukisan dan ukiran sebagai patung. Tuhan yang disembah oleh orang Yunani itu bukanlah tuhan yang sebenar dan mereka merupakan tokoh-tokoh pahlawan zaman silam yang banyak memberi sumbangan serta jasa.
            Pada Xenophanes, tuhan bukanlah terdiri daripada kalangan manusia dan tidak berfikir seperti manusia. Tuhan mentadbir alam ini dengan kuasanya yang tersendiri. Tuhan tidak menyerupai dan diserupakan dengan apa-apa pun. Xenophanes mengatakan pemujaan terhadap dewa-dewa adalah satu kepercayaan yang karut dan tahayul.
            Walaubagaimana pun, Xenophanes melihat kewujudan Tuhan dalam bentuk yang abstrak, tetapi Paramenides pula berusaha membuktikan kebenaran falsafah gurunya dalam bentuk logic dan kaedah rasional. Kalau Xenophanes menganggap tuahn dan ala mini saling melengkapi, Paramenides pula ingin membuktikan bahawa tuhan ini sebagai sesuatu yang ada sepenuhnya. Dengan kata lain, tuhan sudah sedia ada. Tuhan dan alam adalah satu kesatuan yang penuh dan tidak saling bergantungan antara satu sama lain.
            Paramenides juga mengatakan bahawa kebenaran itu adalah sepenuhnya. Pandangan beliau berbeza dengan pemikiran masyarakat Yunani pada ketika itu yang mengatakan kebenaran itu banyak. Apabila banyak maka Tuhan tidak ada kerana jika ada yang akan kekal maka akan ada juga yang akan hilang. Dengan erti kata yang lain, kebenaran itu boleh berubah-ubah.
            Paramenides menyatakan bahawa kebenaran itu satu dan kekal buat selama-lamanya. Kebenaran tidak boleh berubah-ubah dan hilang. Jika kebenaran itu berubah-ubah maka ianya bukanlah satu kebenaran melainkan hanya sebuah sangkaan semata-mata. Kebenaran yang dimaksudkan oleh Paramenides adalah satu pengetahuan dan bukan satu andaian atau sangkaan. Pengetahuan pula adalah satu keyakinan dan kefahaman terhadap sesuatu perkara. Menurut Paramenides juga, kebenaran tidak dapat dilihat tetapi dapat dirasa ertikan, begitu juga dengan Tuhan yang tidak dapat dilihat tetapi kewujudanNya dapat diketahui oleh manusia.
            Untuk mencapai kebenaran manusia tidak boleh hanya bergantung kepada penglihatan semata-mata kerana kadang-kadang penglihatan itu dapat berubah-ubah dan juga terlalu banyak. Dengan ini mereka akan menjadi keliru sehingga apa yang dilihat dikatakan sebagai satu kebenaran yang hakiki. Hanya akal yang dapat membezakan antara yang benar dan yang palsu. Akal akan mengatakan yang ada tetap ada dan yang tiada mustahil ada. Paramenides menyatakan dalam logiknya bahwa kalau hanya ada yang satu maka tidak boleh tidak ada. Yang ada mesti ada dan tidak boleh dikatakan tidak ada. Kalau yang ada berasal dari tiada maka bagaimana pula dengan yang tiada boleh terjadi dan menjadi sendiri. Jadi yang ada adalah wujud dan kekal.
            Jika Xenophanes banyak berbicara soal ketuhanan, Paramenides pula banyak berkata berkaitan kebenaran sebagai pokok utama dalam menyatakan pemikiran falsafahnya. Paramenides tidak cuba memberi gambaran mengenai rupa tuhan tetapi beliau melihat kebenaran itu sebagai satu kebulatan yang sempurna.
            Bagi Paramenides, yang ada itu bulat dan mengisi ruangdan pada tepian bulatan itu bersambung-sambung dan tidak putus-putus. Jarak dari tengah adalah sama ke semua arah. Begitu juga bentuk dan saiznya. Tidak ada yang besar atau kecil, panjang mahupun pendek. Sebab itulah Paramenides melihat bulatan itu sebagai satu kesatuan yang lengkap bagi menggambarkan keadaan yang satu itu. Dunia dari sudut pandangan Paramenides berada dalam keadaan yang static dan tidak tetap. Yang ada dan yang satu itu kekal tidak berubah-ubah. Pemikiran itu barangkali berasaskan keadaan bumi dan planet yang bulat dan hukum tabii yang tetap.
            Paramenides nampaknya cuba menggunakan logic untuk membuktikan hujah-hujahnya. Walaupun apa yang diperkatakan oleh Paramenides tidak dapat dibuktikan secara empiric tetapi beliau telah memberikan asas yang kukuh kepada perkembangan secara logic. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan Paramenides merupakan bapa falsafah logic Yunani. Beliau lebih layak mendapat gelaran ini daripada Plato. Idea Paramenides adalah asli manakala logic Plato banyak bersandar kepada pemikiran ahli falsafah terdahulu. Namun Plato lebih dikenali kerana perbicaraannya meliputi pelbagai bidang dan ruang kehidupan. Selain itu, Paramenides tidak meninggalkan karya-karya penting dan berpengaruh sebagaimana Plato. Sungguhpun begitu, buah pemikiran Paramenides berkaitan kebenaran amat menarik kerana dibuat berdasarkan kepada asas-asas logic yang tidak bertentangan dengan akal fikiran.
                                     
Sebagaimana yang selalu diandaikan oleh para cendekiawan Islam kini didapati, bahawa berkemungkinan ahli falsafah di Yunani terdiri daripada kalangan nabi-nabi yang mana kita ketahui bilangan nabi adalah banyak. Tidak mustahil jika Allah ingin mencampakkan nabi ditengah-tengah orang-orang Yunani yang hebat dalam berhujah dengan menggunakan pemikiran falsafah mereka. Kita sebagai seorang dai’e seharusnya lebih meningkatkan ilmu dan makrifat tentang Allah melebihi orang awam kerana telah menjadi peranan kita dalam memperkatakan kebenaran yang hakiki ini.Wassalam.   
 
 

Posted at 09:24 pm by Pendita Bitara