Wednesday, June 18, 2014

Hiburan dan Muzik..dan persimpangan

Sunday, April 23, 2006
Hiburan dan Muzik..dan persimpangan

Tulisan ini pernah disebarkan ke beberapa e groups sebelum ini. Disiarkan kembali untuk tatapan pembaca blog ini.
Muhammad Nuruddin

ISU HIBURAN DAN Islam : dimana pertemuannya.


“Lagu juga boleh membawa manusia kembali kepada tuhan”, begitulah tajuk artikel akhbar Siasah (Bil 7, 28 Oktober) yang melaporkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS saudara Salahuddin Ayub. Dalam kenyataan ini beliau cuba memberi komentar dan respon kepada beberapa polemik dan kekeruhan akibat beberapa siri konsert Islam antaranya anjuran Dewan Pemuda sendiri (Konsert Blues Gang) dan anjuran Kerajaan Negeri Kelantan (konsert Mawi). Saya merasa terpanggil untuk turut menyertai perbahasan ini berasaskan kedudukan dan posisi saya selaku pemerhati scenario politik kebangsaan. Tulisan ini tidak bersifat spekulasi yang berani sebaliknya sekadar memberi sedikit pandangan berdasarkan pengalaman dan perspektif peribadi yang semestinya tidak sunyi dari kesalahan dan nilai persuasif.

            Beliau juga menyatakan bahawa rakannya tertarik dengan cara hidup Islam dengan hanya mendengar lagu daripada kumpulan terkenal D’Lloyd iaitu “Keagungan Tuhan”. Beliau menyatakan bahawa rakannya itu kini amat komited dengan cara hidup Islam dan menjadi aktivis PAS yang istiqamah. Beliau turut menyeru kepada penggiat seni khususnya penulis lirik agar mengenepikan lirik picisan yang memuja wanita sebaliknya membawa nilai positif yang membina.

            Apabila bercakap mengenai hiburan, beberapa tokoh silam dan kini seperti Imam Al Ghazali dan Prof, Dr Yusuf Al Qaradhawi, dan Sheikh Mahmud Shaltut telah memberi guideline, benchmark dan peraturan yang pada asalnya dzhon dan samara-samar. Kebanyakkan ulama’ sufi silam berdasarkan langkah berhati-hati, mereka sering kelihatan memberi hujah ambiguous (samar) dalam larangan terhadap muzik. Tulisan ini bukan berniat untuk mencerca mana-mana ulama’, sebaliknya cuba membawa fakus pemikiran kita kepada beberapa asas kepada hujah mereka. Pengharaman lagu dan kesenian pada zaman silam adalah kerana pembinaan hukum yang sedang rancak dan pertumbuhan budaya-budaya luar Islam yang  amat deras arusnya ke dalam dunia Islam. Langkah berhati-hati ini seiring dengan larangan Rasulullah terhadap penggunaan seruling yang jelas pada zaman tersebut  iaitu daripada uruf Nasrani. Tetapi kini? Seruling dimainkan oleh orang buta ditepi jalan dan dimainkan dalam beberapa Qasidah arab terkenal di Malaysia (Ghazal Parti). Bercakap isu ‘menyerupai’ sebagai kajian kes, penulis memberi contoh berpakaian. Hari ini pakaian kemeja tidak lagi dianggap pakaian Yahudi seperti polemik besar pada zaman reformisme Islam di Malaysia era Sheikh Al Hadi dahulu. Hadis “Man Tashabbaha Biqaumin Fahua Minhum” perlu diperjelaskan asas dan perletakan kedudukannya kini.

            Atas dasar itu terdapat ulama’ yang menghalalkan muzik dan permainan alatan al Muazif (alatan bertali) dengan beberapa syarat. Dalam tulisan ini penulis tidak ingin mendetailkan perbahasan hokum dan kedudukan muzik dan hiburan dari segi Islam dan syara’ sebaliknya memfokuskan kepada perihal maslahah dalam dakwah.

            Perlu diketahui oleh kita, pembawaan konsep Negara Islam yang sebenarnya memerlukan elemen tadrij (Graduality) dalam memahamkan masyarakat berkenaan Islam. Syarat bagi tadrij atau Islamisasi ini seperti yang dikatakan oleh Ustaz Fadhil Noor ialah
1)       Bermatlamat jelas
2)       Memberi amaran bahawa pembawaan Islamisasi ada mempunyai prinsip dan bukan taasuf.
3)       Memberi kefahaman yang jelas kepada rakyat dan berpegang teguh dengan prinsip asas syariat.

Disini jelas hiburan adalah alat kepada tadarruj untuk pembawaan Islam, lantaran penduduk Malaysia boleh dikatakan 99.9% adalah meminati muzik dan hiburan samada nasyid, tilawah atau hiburan semasa. Muzik dan hiburan adalah perkara tahsiniat yang paling rendah dalam maqasid dakwah kini. Ianya bukanlah prinsip kepada kita untuk dipuja dan diperjuangkan membabi-buta. Lantaran itu saya menyokong penuh usaha YAB Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat dalam memartabat artis yang dikenali sebagai artis bermoral. Disini beliau menggunakan konsep maslahah dan priority (awlawiyyat) dalam memilih keputusan. Terdapat 3 keputusan dalam pemerintahan akhir ini. Samada mengharamkan semua hiburan, memilih artis yang tidak bermoral atau membenarkan hiburan tetapi melalui artis yang bermoral dan berlirikkan positif. Manakah pilihan kita? Disengagement (ketidak terlibatan) boleh berlaku antara organisasi Islam dengan masyarakat jika pilihan pertama yang diambil. Sampai bilakah dakwah Islam boleh dipertahankan?

            Rakyat Malaysia yang tidak memahami maslahah ini sering memberi hujah bias/chauvinistic dalam menilai antara nasyid  dan lagu yang disampaikan bukan daripada artis nasyid. Persoalannya apakah nasyid itu? Dalam  bahasa Arab kesemua lagu adalah nasyid. Perspektif umat Islam minority ini ialah mereka memandang title artis nasyid sebagai wazan dan kayu ukur untuk syari’y atau tidak sesuatu lagu dan artis. Sedarkah mereka bahawa artis nasyid kini juga terbuka dalam menggunakan al muazif dan alatan bertiup?

Masyarakat yang bijak akan berbahas berdasarkan mesej dan tujuan lagu tersebut. Sebagai contoh lagu darpada Ramli Syarif dan beberapa lagu M. Nasir sendiri jelas menonjolkan perihal ketuhanan. Disebabkan mereka bukan daripada kerangka dakwah, serta sering tidak menggunakan kalimah Allah mereka tidak dianggap membawa mesej positif. Adakah itu haram dan tidak syari’y? Saya adalah peminat kumpulan Wings. Antara lagu Wings yang saya minati adalah lagu ‘Sekeping kertas yang Bermaruah’. Lagu ini menjelaskan mesej anti rasuah dan nilai kapitalisme melampau dalam masyarakat kini. Bukankah ini suatu laungan yang berani?

Adakah diantara artis nasyid yang menyanyikan lagu anti rasuah. Mereka juga memaparkan lagu ‘Tuhan’ yang juga dipopularkan kembali oleh Raihan serta lagu ‘Anugerah’ yang membawa elemen kesyukuran kepada pancaindera. Lagu bersemangat perjuangan dan jatidiri insan yang tidak terpengaruh dengan dogmatic murahan dipaparkan oleh Kumpulan Lefhanded dalam lagu 'seruan' dan 'Semangat Lamina'. Selepas kumpulan Brothers, pada saya tiada lagi kumpulan yang membawa mesej jihad dan perjuangan dalam lagu mereka, sebaliknya ,mesej cinta dan memuja isteri kononnya secara picisan. Lantaran mereka memakai pakaian ala Islam, belajar di Universiti Islam, mereka digelar pendakwah dan dipuja-puja. Bukankah ini pemesongan hujah yang berat? Rakyat Malaysia memandang sesuatu isu secara melulu dan mengenepikan beberapa perspektif dan dimensi yang lain dalam berhujah. Saya sering menggunakan pengetahuan berkenaan aliran muzik rock, metal dan Trash sebagai titik tolak untuk mendekati golongan terabai yang inginkan setitis kasih sayang dan keinsafan. Apabila kita meletak sempadan dan jurang sedari awal, kita tidak berjaya membawa apa-apa mesej sekalipun.

Pada saya saya berpendapat, jika Kerajaan Negeri Kelantan sanggup membuat ‘konsert Rock yang syari’y, dimana dipisahkan kedudukan lelaki dan perempuan, dibuat selepas solat Isyak, tidak dibenarkan pemuzik tersebut membawa lagu cinta yang tidak berguna, diminta penganjur memasang layar untuk memaparkan lirik positif supaya penonton membaca dan memahami mesej positif dan bukannya sekadar berhibur,serta diselitkan dengan kempen anti dadah dan arak. Selepas konsert selesai, polis membuat pemeriksaan agar tiada perkara sumbang berlaku. Bukankah ini akan menarik minat remaja kepada Islam yang dibawa oleh Bandaraya Islam tersebut? Bukankah ini suatu langkah yang semestinya mematahkan hujah musuh Islam berkenaan sikap fundementalis yang mereka labelkan kepada ulama’ kita?.........Saya menyokong penuh kenyataan Saudara Salahuddin Ayub…diharapkan tulisan ini diberi komentar yang membina dan tidak dinafikan tanpa asas. ‘Denial Syndrome’ dalam masyarakat kita perlu dielakkan……

Muhammad Nuruddin Bashah
PKNS
10.00 p.m
30/11/2005


Posted at 08:58 pm by Pendita Bitara

No comments:

Post a Comment