Wednesday, June 18, 2014

Isu Penghinaan Nabi...perlu tahu fakta

Saturday, April 29, 2006
Isu Penghinaan Nabi...perlu tahu fakta

ISU PENGHINAAN TERHADAP NABI.
Muhammad Nuruddin Bashah
Kejuruteraan Bahan Universiti Malaya
            Isu berkenaan penghinaan Nabi SAW adalah rentetan daripada domino penghinaan terhadap Islam dan umatnya sejak kejatuhan perang salib yang ketiga. Perencanaan yang rapi ini kemudiannya dihiasi dengan penghinaan tonggak utama agama kita iaitu Rasulullah SAW. Pelbagai reaksi yang membawa makna yang pelbagai serta terlalu banyak perbahasan yang jelas menunjukkan semangat dan identiti masing-masing. Dalam membicarakan isu ini, tidak ketinggalan juga penulis ingin menyumbang sesuatu kepada kerancakkan perbahasan ini sebagai suatu sumbangan dielektik yang membina. Disebabkan kekangan tesis dan subjek-subjek tahun akhir menyebabkan penulis menangguhkan penulisan dan penyusunan hujah dalam membicarakan isu ini. Beberapa peristiwa lama dalam dan luar negeri perlu kita dilihat semula bagi memahami asal usul penghinaan Nabi besar kita SAW.
Keperluan memuliakan Rasul.
Firman Allah,
Katakanlah (wahai orang-orag beriman) Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al Quran) dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishaq dan Nabi Yaakub dan anak-anak dan juga kepada apa yng diberikan kepada Nabi Musa dan  Nabi Isa dan apa yang diberikan kepada Nabi-Nabi dari tuhan mereka kami tidak membeza-beza antara seseorang dari mereka (sebagaiman sikap Bani Israil) dan kami semua adalah Islam kepada Allah semata-mata.
(Al Baqarah : 136)
 Disini jelas kita melihat bahawa  penghormatan dan perhatian yang perlum anusia berikan kepada semua utusannya tanpa pilih kasih dan taksub melampau. Adapun ayat ini bersifat kulliy dimana sikap umum kita terhadap Nabi-Nabi, walaupun sebagai umat Muhammad, kita perlu memuliakan  Rasul kita sendiri lebih dareipada Rasul-Rasul yang lain. Hal ini dijelaskan pula dalam ayat Al Baqarah 253 (sila rujuk).
Pendapat Ulama' Aqidah.
Jumhur ulama' Ahli Sunnah Wal Jamaah serta Syiah Zaidiyyah menyatakan haram serta kufur bagi mana-mana manusia yang menghina Rasulullah baik dalam bentuk percakapan, perbuatan kita serta kita mengintepretasi sunnah, sirah serta latar belakangnya secara wewenang dan bernada penghinaan. Ulama' ahli sunnah aliran kalam seperti Sheikh Ibrahim Al Laqani, Imam Sanusi dan beberapa ulama' lain berittifaq kufur bagi mana-mana individu yang menghina bukan sahaja Rasulullah, sebaliknya juga sahabat-sahabat yang besar (10 sahabat yag dijamin syurga).
Kes-kes penghinaan di zaman Nabi.
Penghinaan terhadap nabi juga berlaku sejak zamannya lagi dan beberapa balasan yang setimpal telah dikenakan pada mereka:
1)       Kes yang terulung ialah penghinaan Abu jahal terhadap Rasulullah dimana antara kemuncaknya ialah,  diletakkan perut unta busuk di belakangnya semasa sujud di Kaabah. Rasulullah berasa amat sedih dan terhina sehinggakan Fatimah Az Zahra  yang melihat kejadian itu turut berasa pilu dan terhina. Allah memujuk baginda dengan surah Al Insyirah. Dalam ayat-ayatnya Allah menjelaskan bahawa nama Muhammad akan disebut-sebutkan hingga ke akhir zaman, sehingga ditagihkan syafaat Uzmanya  oleh para Nabi-Nabi lain  dan para malaikat. Allah menghina kembali Abu Jahal apabila Abu Jahal dibunuh dalam peperangan Badar oleh seorang hamba  abdi secara sekali tetak sahaja.
2)       Kes lain, seorang sahabat Nabi yang buta datang mengadap Nabi semasa Nabi SAW sedang mengajar ilmu di masjid. Beliau mengadu bahawa beliau baru sahaja membunuh isterinya. Alasannya ialah isterinya sering menghina Nabi dirumahnya sehingga dia berasa hilang sabar. Rasulullah berkata, darah tersebut halal baginya.
3)       Semasa Rasulullah menghantar perutusan dakwah kepada raja Kisra Parsi, beliau amat marah dan mengatakan bahawa beliau ingin membunuh Rasulullah di Madinah. Beliau telah menghantar 2 utusan untuk membunuh. Apabila Rasulullah berjumpa 2 utusan tersebut, baginda berkata bahawa Kisra kamu sedang dibunh oleh anaknya sendiri. Berita itu benar apoabila anak Kisra tersebut yang membunuh bapanya sendiri kerana tidak tahan dengan kebiadaban dan kerakusannya.
4)       Musailamah adalah berketurunan Bani Hanifa. Beliau telah mengaku bahawa beliau juga adalah Nabi sekutu kepada Muhammad di Madinah. Beliau telah menghantar surat perutusan dan mengatakan beliau pesuruh Allah. Rasulullah berasa amat marah dan jika bukan kerana larangan membunuh utusan orang, Baginda ingin membunuh utusan-utusan Muisailamah itu. Akhirnya baginda menggelar beliau sebagai Muisailamah Al Kazzab. Musailamah di perangi akhirnya oleh Saidina Abu Bakar.
5)       Abu Amir Ar Rahibi adalah Rahib Nasrani di Madinah. Beliau amat terkenal sebelum Rasulullah datang berhijrah. Apabila Rasulullah datang, beliau berasa amat tercabar. Suatu hari tanpa beradab beliau telah berhujah dengan Nabi di depan khayalak ramai serta menafikan kerasulan Nabi SAW. Beliau mencabar untuk menentukan siapa yang benar dengan bertaruh bahawa yang salah akan mati berdagang (terpencil). Abu Amir yang kemudiannya bersekongkol dengan orang-orang Sham untuk menyerang Madinah, menghasut munafiqun untuk membina masjid Dhirar, dan akhirnya beliau sendiri mati di Sham jauh dari tempat asalnya.
6)         Kaab bin Asyraf adalah pemuka Yahudi Madinah bani Nadhir. Beliau telah mengejek-ejek kemenangan tentera Islam (negaranya sendiri) terhadap musuh negaranya. Beliau telah menghasut-hasut orang Quraisy, menjadi batu api dan lebih daripada itu beliau membuat banyak pusi-puisi berahi asmara menggunakan watak-watak isteri Nabi. Beliau mengaku di depan pemuka Quraisy bahawa agama mereka (menyembah berhala) adalah agama yang lebih baik dan mendapat pentunjuk. Sedangkan agama Islam lebih hampir dengan ibadah agama Yahudi. Rasulullah cukup marah sehingga meminta  beberapa sahabat membunuh Kaab sebagai pengajaran kepada Yahudi yang biadab.
7)       Bani Qainuqa' juga mengejek-ngejek kemenangan Islam dalam peperangan Badar di pasar Qainuqa'. Mereka juga bertindak menarik baju seorang peniaga muslimah sehingga terselek kainnya. Penghinaan kepada muslimah itu bertujuan menghina Nabi selaku penaung para muslimah. Nabi dan para sahabat telah bertindak mengepung mereka walaupun baginda dihalangi oleh para munafiqun Madinah. Munafiq-munafiq ini juga sekali lagi menahan baginda bertindak kepada Yahudi Bani Nadhir.
8)       Al A's Bin Al Wail telah mengejek-ngejek nabi mengatakan baginda adalah 'Al Abtar' iaitu terputus zuriatnya. Tuduhan ini diulang-ulang kerana kematian anak lelaki baginda yang bernama Abdullah. Allah menurunkan surah Al Kauthar dan mengatakan bahawa mereka yang memusuhi Nabi lah yang bergelar 'al Abtar' iaitu golongan yang terputus daripada rahmat Allah dan syafaat Rasulnya.
Sekitar perbahasan ISU karikatur.
            Beberapa ketika ini penulis meneliti banyak hujah awam berkenaan isu karikatur. Ada yang tidak mnegenali sirah Rasul turut amarah menentang si penghina, ada yang membela para penghina, ada yang terkulat-kulat ingin berkata-kata tetapi kata-kata tersekat di tenggorok, ada yang seolah-olah ingin menjadi golongan moderate tetapi tertipu dan sebenarnya telah memakai pakaian munafiq berhiaskan nama baru iaitu Islam Liberal dan sebagainya.Dan yang pastinya begitu ramai yang bangun menentang si penghina termasuk di Negara kita ini.
            Terlalu ramai penulis luar negara yang ingin menulis tentang keganasan Islam, penyelewengan Muhammad, akhirnya menemui kegagalan untuk mencari dan mendapatkan potret baginda. Mana mungkin tokoh No. 1 dunia (Micheal J. Heart) tiada potret untuk dipuja oleh penyokongnya sebagaimana penyembahan potret Mao Tze Dong di China era Komunis dahulu. Mereka cukup hairan !!!
            Sebenarnya langkah berhati-hati para ulama' silam dalam mengawal salah tafsir berkenaan sunnah dan jasad Nabi menyebabkan tiada langsung gambar-gambar Nabi dan sahabat yang dijamin syurga  dilukis orang hatta oleh tokoh Falsafah Islam sendiri melarang perlakuan melukis potret Nabi.
            Ada yang berhujah bahawa isu kemarahan umat Islam bukannya disebabkan melukis gambar Nabi, tetapi kerana imej yang berkonotasi negatif  dan berunsur penghinaan yang dilukiskan. Golongan ini kononnya mendokong kebebasan berseni dan berkarya serta membawa focus kita kepada isu penghinaan dan bukannya isu melukis potret Nabi. Benarkah kita membantah hanya kerana hina dan bukannya kerana perbuatan menggambar itu sendiri?
Ada yang berhujah bahawa tiada suatu dalil Qati'e dari Al Quran ataupun Hadis yang menerangkan larangan melukis gambar Nabi. Golongan ini berlagak seolah mereka ini ulama' Hadis dan Ulama'; tafsir yang besar. Seolah-olah kesemua dalil dan Fiqh An Nusus berada di hujung jari mereka.
            Bilakah adanya larangan melukis gambar Rasulullah SAW?. Sebenarnya perbuatan melukis gambar para Anbiya' lain juga adalah salah. Dan secara umumnya hukum melukis dan menggambar objek hidup juga amat panas perbahasannya dikalangan ulama', inikan pula ingin melukis gambar Nabi. Rasul-Rasul diutus bukan untuk dipuja jasadnya. Rasul-rasul meninggalkan athar (bekas) dengan melekatkan perilaku dan sIstem hidup dalam setiap manusia. Imam Al Ghazali berkata setiap penciptaan Allah, ada disertakan dengan 2 penciptaan iaitu pertamanya diciptakan objek tersebut daripada Qudrah Allah, dan keduanya disertakan undang-undang (manhaj) bagi objek itu. Dan kini jelas apabila semua saintis bersetuju bahawa tiada benda didunia ini yang tiada peraturan dan sistemnya.
Jadi sistem hidup kita dibentuk oleh Rasulullah dengan menidakkan penghormatan kepada baginda secara zahir, sebaliknya secara amali dan spiritual. Hal ini lah yang difahami oleh para jumhur ulama' dan mereka mengharamkan perbuatan melukis gambar para Nabi. Akibat tiadanya syariat mengharam perbuatan mebuat patung dan lukisan zaman silam, menyebabkan setiap kali zaman fatrah (senggang masa yang lama antara Nabi-Nabi), manusia mula membuat patung dan gambar Nabi atau wali-wali mereka untuk disembah. Inilah asal usul berhala. Justeru tindakan ulama', diatas prinsip Sadd Az Zarai' (pencegahan) adalah tepat dengan kehendak syarak. Dan inilah tindakan yang dikatakan sebagai 'fiqh' iaitu faham kepada kehendak(maqasid) syariah itu sendiri walaupun jika tiada dalam dalil Qati'e. Lantaran itu, Sheikh At Tantawi daripada Al Azhar telah mengeluarkan fatwa haram bagi menggambarkan wajah dan jasad para Nabi pada tahun 2002.
            Pada penulis penelitian masyarakat perlu tajam bagi bertindak membela Rasulullah. Mungkin saranan Ustaz Pahrol (pendakwah terkenal) agar cinta dahulu baru marah adalah tepat. Perumpamaan orang yang marah terhadap isu ini tetapi tidak mengenal Rasul ialah seperti orang tua-tua kita, yang tidak mahu barang lamanya dibuang walaupun mereka sendiri tidak memakai barang tersebut.
            Insya Allah beberapa siri tulisan berkenaan penghinaan Nabi akan disediakan. Mohon dipermudahkan untuk terus menulis.
Rujukan :
1)       Diplomasi Rasulullah SAW, Azaman Muhammad,1992, PUSTAKA SALAM.
2)       Penghinaan terhadap Rasulullah SAW, Ustaz Riduan  Mohammad Nor, Ustaz Mohammad Asri Mat Daud, 2006, MHI Publication.
3)       Fiqh As Sirah, Muhammad Said Ramadhan Al Buti, 2000, DEWAN PUSTAKA FAJAR.
4)       Dewan Agama Dan Falsafah, April 2006, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA.
5)       Tafsir Al Munir, Prof. Wahbah Az Zuhaili, 2001, Persatuan Ulama' Malaysia.,
6)     Internet
 


p/s : Cintailah Rasul kita dan bacalah sirah Rasulullah sebagai sumber aspirasi kehidupan kita ini (pesan pegawai HEP UM kepada warga mahasiswa UM)




Posted at 02:45 pm by Pendita Bitara

No comments:

Post a Comment