Tuesday, June 17, 2014

Demokrasi dan pemerintahan Islam

Thursday, April 20, 2006
Demokrasi dan pemerintahan Islam
 Demokrasi dan pemerintahan Islam ; satu pertembungan atau keselarasan.
Muhmmad Nuruddin Bashah


Pendahuluan.
Pada penulisan kali ini, penulis cuba memberi penerangan ringkas mengenai aspek siasah yang diperaktik di Negara kita. Selaku mahasiswa Islam, kita sewajarnya mengetahui secara jelas mengenai konsep serta elemen sebenar domokrasi yang di amalkan di Malaysia. Tulisan ini tidak bersifat kritikan sebaliknya mencari nilai sepunya atau titik pertemuan diantara teori dan praktisnya demokrasi dengan nilai dan konsep pentadbiran secara Islam. Di akhir penulisan , penulisan akan memberi beberapa hujah komparatif yang boleh dinilai sekiranya pemerintahan syariah ingin diterapkan di Malaysia. Penulis juga akan terus memaparkan beberapa aspek penting di dalam siasah syariyyah di dalam persoalan pentadbiran (Al Qudhat) seperti hakikat syura, kepemimpinan secara Islam, konsep ahli zimmah, serta beberapa kajian lain berkenaan keserasian comman law dengan legalatif(perundangan) Islam dalam tulisan yang akan datang.

Takrif Demokrasi.

            Melalui perkataan Greek, demos adalah rakyat manakala kratosadalah kekuasaan. Secara umumnya di dalam sejarah Greek, sistem ini adalah peralihan daripada system monarki (beraja mutlak), oligarki( pemerintahan golongan kelompok elite) plutokrasi (pemerintahan golongan kaya) serta aristokrasi (pemerintahan golongan berpengaruh di Yunani). Hasilnya adalah revolusi pentadbiran Greek kepada pemerintahan secara merakyat. Menurut Robert A Dahl (1983) Demokrasi adalah system yang memberi peluang kepada rakyat jelata untuk melibatkan diri dalam pembuatan keputusan dan pembetukan dasar.
            Secara teorinya demokrasi pada zaman Greek lebig bersifat directly democracy kerana semua rakyat  dikerah berhimpun serta membuat keputusan bersama. Manakala pada zaman ini demokrasi lebih bersifatindirectly kerana melibatkan perwakilan( wakil rakyat). Muammar Al Ghadafi menyatakan bahawa tiada lagi pemerintahan demokrasi tulen lantaran pilihanraya menjadi penentu wakil dan rakyat hanya diberi kuasa undi sahaja. Sebenarnya penentuan perwakilan adalah suatu maslahan akibat bilangan rakyat di dalam negara sekarang lebih ramai serta bersifat pelbagai ragam berbanding komposisi rakyat Yunani.
            Daripada sejarah juga kita melihat bahawa negara yang tertindas serta diperintah secara kuku besi akan mula menguja kaum untuk menerima demokrasi. Maka pemesatan penyebaran sistem ini daripada Greek adalah akibat tekanan dalam sesuatu masyarakat. Sebagai contoh, pada 1688 Revolusi Inggeris mencetuskan domokrasi. Manakala pada 1776  pula Revolusi kemerdekaan pula berlaku di Amerika  serta tercetusnya konsep baru demokrasi berpresiden. Manakala pada 1789 Revolusi Prancis pula memulakan langkah menerima demokrasi. Negara lain terutama daripada jajahan Great Britain menerima demokrasi setelah menerima penjajahan selama berabad lamanya. Hari ini kita melihat pula bagaimana Amerika Syarikat cuba menyebar demokrasi berpresiden kepada AfghanistanIraq danIran. Persoalannya kenapakah demokrasi kelihatan unggul serta seolah-olah mempunyai "healing sense" dalam permasalahan pentadbiran? Kenapakah setelah menerima demokrasi, masalah sosial pula menjadi natijahnya? Adakah demokrasi bercanggah dengan Islam? Tulisan ini cuba memberi gambaran.

Bentuk Demokrasi.

1) Demokrasi Berpalimen :  Dalam pentadbiran ini, terdapat hubungan erat antara badan perundangan (legislatif) serta pelaksana (eksekutif) Antara negara yang menjalankan kaedah ini adalah Britain dan Malaysia. Di Negara ini wakil parlimen(perundangan) boleh menjadi pelaksana seperti menteri kabinet. Malahan, kedudukan Raja atau Yang diPertuan Agong amat istimewa kerana mempunyai kuasa dan pengaruh legislatif mahupun eksekutif. Ketua Negara pula berlainan dengan ketua kerajaan.

2) Demokrasi Berpresiden : Contoh Negara yang menjalankan kaedah ini adalah Amerika Syarikat. Kaedah ini mengasingkan kuasa perundangan, kehakiman dan pelaksana. Secara umumnya kaedah ini kelihatan lebih adil dan telus. Presiden bertindak selaku ketua Negara dan ketua kerajaan.

Ciri-ciri Demokrasi.
   1)      Kekuasaan rakyat : menurut Lipson (1969) kuasa tertinggi adalah kuasa kedaulatan rakyat. Individu merelakan diri mereka diwakilkan oleh wakil mereka di parlimen.
    2)    Perwakilan : Pada hakikatnya dalam teori demokrasi, seluruh rakyat adalah perwakilan negara, namun melihat kepada kepadatan penduduk yang terlampau ramai, mereka wajar untuk menentukan wakil mereka.
   3)     Pilihanraya : Pilihanraya adalah medan untuk menentukan perwakilan.Selalunya demokrasi terjejas teruk disini lantaran permainan politik kotor yang semestinya menjadi ralat dalam pemilihan wakil yang sebenar-benarnya dihajati awam. Sikap masyarakat yang hanya terkesan dengan kelompok dan isu menyebabkan parti politik diperlukan untuk mewakilkan calon sepanjang kempen. Pembentukan parti adalah suatu keperluan masakini lantaran kelompok manusia yang pelbagai, serta hasrat manusia yang ingin diwakilkan oleh parti tertentu dan bukannya atas dasar daya tarikan krediabiliti individu. Tambahan pula, parti politik membantu negara meningkatkan kesedaran rakyat tentang hak mereka serta tanggungjawab mereka dalam pentadbiran negara berdemokrasi.

Fahaman Demokrasi dunia.

1)      Demokrasi Leberal : Fahaman ini lebih bersifat individualistik. Individu boleh mengeluarkan pendapat dan kerajaan sewajarnya mengambil tindakan atas sebarang cadangan rakyat. Sistem desentralisasi dipraktikkan iaitu membahagi tugasan kepada beberapa peringkat negeri atau wilayah (kuasa autonomi) seperti diMalaysia atau di Amerika Syarikat. Sejauh mana kebebasan memberi pendapat dipraktikkan bergantung kepada budi bicara pentadbir.
2)      Demokrasi bukan Liberal (Proletar) : Konsepnya lebih kepada satu parti seperti pelaksanaan di negara-negara Komunis. Wujid selepas perang dunia kedua.
3)      Demokrasi bukan Liberal (Terpimpin) : Pemimpin dianggap segala-galanya dan dianggap tahu memperjuangkan nasib rakyat dimana tindakan pemimpin tidak dipersoalkan. Contohnya di Indonesia dimana Sukarno kelihatan berkarisma tinggi. Segala ucapannya adalah suatu dasar kerajaaan. Mesir dibawah pentadbiran Gamal Abdul Naseer juga pernah menggunakan fahaman ini.

Bagaimana demokrasi sampai ke Malaysia?
           
Demokrasi mula muncul di Malaysia selepas kedatangan syarikat-syarikat perdagangan barat ke seranta melayu. Perlu diingatkan bahawa kedatangan kapal-kapal tersebut bukan sekadar membawa barang dagangan, sebaliknya turut membawa tentera, saintis, ahli sosiologi serta paderi. Hegemoni Great Britain berkemuncak pada era tersebut. Ia berlainan dengan kedatangan kapal-kapal Portugal dan Belanda. Selepas terjadi Revolusi di England, Perancis dan Amerika Syarikat, mereka berlumba-lumba untuk menjaja sistem pentadbiran hasilan pemikiran saintis sosiologi mereka. Dunia menyaksikan hegemoni dan empayar Great Britain lebih maju dan bersedia untuk mengubah perpektif, tanggapan dan mentaliti masyarakat Melayu melalui, dasar berlembut dengan Raja Melayu, pendidikan berterusan serta indoktrinisasi secara berperingkat disamping mengurangkan autonomi pentadbir tempatan serta Raja Melayu.
            Demokrasi di Malaysia cuba mengharmonikan kuasa melayu dengan mengekalkan kedudukan tertinggi melayu dengan adanya kuasa legislatif dan eksekutif Yang Dipertuan Agong. Sistem kabinet dan perundangan negara lebih mirip dengan pentadbiran Great Britain yang mengekalkan kuasa Raja dan Ratu Britain.




Pertemuan konsep demokrasi dengan konsep pentadbiran Islam.

            Persoalan dan tomahan timbul, tentang status demokrasi, samaada ianya menurut syara' ataupun tidak. Adakah ianya releven dan mempunyai jalan dalam ijtihad muasoroh ulama' kini? Adakah ianya perlu dikekalkan sekiranya sistem syariah dipraktikkan secara total? (bermaksud kuasa mahkamah syariah menyamai kuasa mahkamah sivil sebagai contohnya). Hal ini perlu diteliti dan diperhalusi tanpa menjadikan nafsu dan persepsi sempit sebagai hujah.
            Sebagai mahasiswa Islam, kita mungkin telah arif mengenai hakikat penyebaran sistem demokrasi seluruh dunia. Demokrasi kelihatan ampuh dalam menyelesaikan permasalahan pertikaian perwakilan kaum dan masyarakat dunia yang sering berpecah. Demokrasi kelihatan relevan dalam memudahkan perbincangan secara bersistem dan pengesahan secara kolektif. Namun permasalan kecurangan dalam pelaksanaan demokrasi adalah atas tindakan manusia yang mementingkan nafsu dan akal dalam mencari kuasa peribadi dan kehendak sendiri. Inilah hakikat kecerobohan dalam sistem ini.
            Di dalam kitab Fiqh Ad Daulah, Prof. Dr Yusuf Al Qaradhawi telah menjelaskan bahawa pelaksanaan demokrasi adalah dibenarkan kerana ianya mirip dengan gagasan syura Rasulullah. Terdapat segelintir masyarakat yang memeperjuangkan konsep syura Rasulullah tanpa mereka melihat bagaimanakah sebenarnya pelaksanaan syura dan perbincangan pada zaman Rasulullah. Profesor Yusof melihatkan maslahah yang boleh diperolehi dengan menggunakan sistem yang diasaskan oleh kaum bukan Islam dengan memasukkan unsur Islamis dalam pelaksanaannya.

a) Demokrasi dan akal.
           
Perbezaaan utama syura Islam dengan pelaksanan demokrasi adalah, demokrasi membenarkan majoriti menetapkan keputusan walaupun bercanggah dengan hukum Al Quran dan as Sunnah. Sekiranya pelaksanaan syariah diaplikasi, golongan non muslim hanya akan membahaskan perkara yang bersifat maslahah umum dan bukannya perkara yang jelas hukumnya di dalam rujukan Islam. Hakikatnya demokrasi membuat keputusan dan membentuk perundangan melalui akal fikiran manusia (comman law sebagai contoh).

b) Konsep Al Qudhat.

Di dalam Islam bidang perundangan, fatwa, pelaksanaan dan kehakiman terangkum didalam perbahasan skop al Qudhat. Di dalam skop ini tiada pemisahan di dalam pembentukan hukum terkini, pelaksanaan serta kehakiman berdasarkan perundangan tersebut. Namun di sebabkan untuk memudahkan pelaksanaan kini, bidang kuasa ini boleh dipisahkan sebaliknya kesemua fatwa terkini perlu diluluskan oleh pihak perundangan sebelum di laksanakan oleh pihak kehakiman. Hari ini kita menyaksikan institusi fatwa tiada hak untuk membawa perkara fatwa di dalam perbahasan perundangan Parlimen. Ini menyebabkan tiada perbahasan berkenaan syariah di Parlimen. Pada zaman Rasulullah SAW, Rasul sendiri bertindak sebagai pemimpin negara, hakim serta melaksanakan semua undang-undang. Namun dalam kepesatan masyarakat Islam, majlis Qadhi ditubuhkan untuk memudahkan pelaksanaan hukum Islam pada zaman  kesultanan Abbasiyah serta Umayyah. Sultan menggubal undang-undang dengan dibantu oleh para ilmuan dan ulama' negara (untuk perkara yang tidak jelas hukumnya di dalam Al Quran dan Al Hadis).

c) Ahli halli Wal Aqdi.

Konsep ini adalah konsep dimana perwakilan masyarakat adalah ahli halli wal aqdi yang berilmu, adil serta pandai membuat keputusan bersama-sama dengan khalifah. Konsep ini boleh diterapkan di dalam demokrasi sekiranya calon dewan rakyat dan dewan negara mahupun kabinet menurut kriteria seorang ahli halli wal aqdi Islam. Pada zaman pentadbiran Saidina Umar RA, majlis ini ditubuhkan untuk memudahkan pentadbiran beliau. Majlis-majlis pentadbiran awam ditubuhkan untuk maslahah pentadbiran awam (walaupun belum pernah ditubuhkan pada zaman pentadbiran Rasulullah SAW ). Persoalan juga timbul tentang hak wanita dalam menjalankan bidang perundangan dan eksekutif. Namun dalam ijtihad Imam Abu Hanifah wanita dibenarkan memegang jawatan tertentu kerajaan termasuk menjadi hakim dengan syarat tertentu selagi tidak memegang jawatan tertinggi kerajaan. Manakala Imam Abu Ya'la Al Farra' yang banyak menulis dalam  bidang siasah Islam tidak menggariskan  lelaki sebagai syarat pentadbir tertinggi. Pada zaman saidina Umar RA juga  kita menyaksikan Ummul Syifa' binti Abdullah dilantik sebagai penyelia pasar (suatu jawatan yang mencabar pada zaman tersebut).

d) Pilihanraya.

            Persoalan juga timbul lantaran pilihanraya kelihatan bukan daripada pelaksanaan Islam. Perlu diketahui semasa Imam Al Mawardi menjadi Qadhi di Kufah, beliau pernah menggagaskan pelaksanaan pilihanraya pemilihan khalifah Iraq oleh rakyat Kufah dan Baghdad (Ianya berpusat disini kerana masyarakat berilmu ramai tertumpu di sini). Pilihanraya juga menepati konsep siasah syariyyah dimana masoleh mursalah digunapakai. Dalam kepesatan penduduk sesebuah negara serta kesedaran kepimpinan yang meningkat, pilihanraya adalah solusi terbaik untuk itu serta mengelakkan huru-hara dalam sesebuah negara.

Kesimpulan.

Sebagai kesimpulan,kita sewajarnya mengetahui konsep demokrasi sebenar tidak dapat dilaksanakan pada hari ini melihatkan kepada perwakilan rakyat sendiri yang tidak membawa agenda rakyat tetapi agenda kepartian. Walaupun di dalam demokrasi ianya menekankan kedaulatan rakyat serta menganggap rakyatlah sebenarnya pemerintah, namun di dalam Islam kedaulatan hanyalah terletak pada Allah SWT serta kuasa pelaksana undang-undang Allah ditaklifkan kepada khalifah Islam dengan dibantu oleh para ilmuan dan ulama'. Cumanya titik pertemuan demokrasi dengan Islam ialah, rakyat terbanyak boleh memilih anggota ahli halli wal aqdi yang sesuai serta berhak memilih khalifah (Amir) yang adil serta menepati konsep Islam. Inilah titik homofili yang perlu difahami dalam kita menggunakan demokrasi sebagai menepati kaedah masoleh mursalah dalam mewujudkan kepemimpinan yang benar-benar menepati syariah serta disukai rakyat.

Posted at 07:21 pm by Pendita Bitara

No comments:

Post a Comment